Thursday, October 28, 2010

Disimbah Asid Cinta Ditolak

 
DERITA...Ain cedera parah akibat melecur disimbah asid oleh bekas rakan sekerja ketika ditemui di HPP, semalam.

GEORGETOWN: “Pada malam kejadian, lelaki itu datang dengan menunggang motosikal dan secara tiba-tiba dia menyimbah ‘air’ ke muka saya sambil mengejek, ‘padan muka hang’ sebelum beredar.

“Saya tersentak dan terkejut apabila muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas, selain seluruh kulit bertukar menjadi hitam seakan-akan terbakar dan membengkak,” kata seorang gadis yang parah akibat disimbah cuka getah di Taman Cenderawasih, Seberang Prai Selatan (SPS), 17 Oktober lalu.

Gadis berusia 21 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, mendakwa menjadi mangsa balas dendam selepas menolak cinta lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, hasratnya untuk mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini mungkin tidak kesampaian apabila hampir 70 peratus muka, tangan dan badannya melecur teruk...LAGI

Wednesday, October 27, 2010

Hindi Power!

Sempena Deepavali yang menjelang tiba, aku ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan "Happy Diwali 2010" kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu yang bakal menyambutnya tidak lama lagi iaitu pada awal November 2010.

Apabila bercakap pasal Deepavali, aku terkenangkan suatu masa gemilang filem Hindi pada era 80-an dan 90-an. Sememangnya telah mencetuskan fenomena kepada seluruh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia membesar dengan alunan-alunan suara gemersik dan muzik yang mendayu-dayu. Siapa yang tidak akan terpaku dengan lenggok suara mendayu-dayu seperti Lata Mangeshkar? Menusuk kalbu, jiwa dan sanubari.

Perkembangan filem-filem Hindi pada suatu ketika dulu telah berjaya mencipta impak dan sejarahnya yang tersendiri. Majoriti rakyat Malaysia pasti akan mengingati filem "Bobby" pada tahun 1973. Kisah percintaan antara dua darjat. Keperihan dan pengorbanan demi cinta. Filem ini telah mencatat Box Office. Kekacakan Rishi Kapoor telah menjadi igauan dan angan gadis-gadis Malaysia suatu masa dulu. Jika masih ada yang belum menonton filem ini sila berbuat demikian kerana pastinya akan merobek emosi anda.

Ideologi filem Hindi dulu adalah sangat berbeda dengan idea pengarah filem Hindi hari ini. Elemen-elemen seks dan adegan memanipulasi kaum wanita telah menjadi rencah utama dalam pembikinan filem Hindi hari ini. Tarian menjolok mata menjadi hidangan kepada penonton. Aku tidak menafikan filem Hindi dulu turut memaparkan elemen seks dan wanita seksi. Namun ia tidak begitu ditekankan atau diketengahkan oleh pengarah filem dulu. Aspek yang sering ditekankan oleh pengarah filem Hindi dulu adalah kekeluargaan, kasih sayang, kemasyarakatan, kemanusiaan dan pastinya tidak sah jika tiada elemen cinta.

Kesan filem ini telah berjaya menanam sifat kasih sayang yang tinggi kepada rakyat Malaysia. Linangan air mata memang tidak dapat dipisahkan daripada filem Hindi. Takungan air mata ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang cepat bersimpati. Tidak dapat disangkal lagi kerana rakyat Malaysia masih mampu bersiul mengikut irama lagu daripada filem-filem Hindi dulu. Siulan ini masih menggambarkan masih ada nilai kasih sayang di kalangan rakyat Malaysia.

-melayupulau-