Sempena Deepavali yang menjelang tiba, aku ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan "Happy Diwali 2010" kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Hindu yang bakal menyambutnya tidak lama lagi iaitu pada awal November 2010.
Apabila bercakap pasal Deepavali, aku terkenangkan suatu masa gemilang filem Hindi pada era 80-an dan 90-an. Sememangnya telah mencetuskan fenomena kepada seluruh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia membesar dengan alunan-alunan suara gemersik dan muzik yang mendayu-dayu. Siapa yang tidak akan terpaku dengan lenggok suara mendayu-dayu seperti Lata Mangeshkar? Menusuk kalbu, jiwa dan sanubari.
Perkembangan filem-filem Hindi pada suatu ketika dulu telah berjaya mencipta impak dan sejarahnya yang tersendiri. Majoriti rakyat Malaysia pasti akan mengingati filem "Bobby" pada tahun 1973. Kisah percintaan antara dua darjat. Keperihan dan pengorbanan demi cinta. Filem ini telah mencatat Box Office. Kekacakan Rishi Kapoor telah menjadi igauan dan angan gadis-gadis Malaysia suatu masa dulu. Jika masih ada yang belum menonton filem ini sila berbuat demikian kerana pastinya akan merobek emosi anda.
Ideologi filem Hindi dulu adalah sangat berbeda dengan idea pengarah filem Hindi hari ini. Elemen-elemen seks dan adegan memanipulasi kaum wanita telah menjadi rencah utama dalam pembikinan filem Hindi hari ini. Tarian menjolok mata menjadi hidangan kepada penonton. Aku tidak menafikan filem Hindi dulu turut memaparkan elemen seks dan wanita seksi. Namun ia tidak begitu ditekankan atau diketengahkan oleh pengarah filem dulu. Aspek yang sering ditekankan oleh pengarah filem Hindi dulu adalah kekeluargaan, kasih sayang, kemasyarakatan, kemanusiaan dan pastinya tidak sah jika tiada elemen cinta.
Kesan filem ini telah berjaya menanam sifat kasih sayang yang tinggi kepada rakyat Malaysia. Linangan air mata memang tidak dapat dipisahkan daripada filem Hindi. Takungan air mata ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang cepat bersimpati. Tidak dapat disangkal lagi kerana rakyat Malaysia masih mampu bersiul mengikut irama lagu daripada filem-filem Hindi dulu. Siulan ini masih menggambarkan masih ada nilai kasih sayang di kalangan rakyat Malaysia.
-melayupulau-
-melayupulau-
0 comments:
Post a Comment
MP mengalu-alukan setiap pendapat/pandangan/komen yang bijaksana daripada para pembaca dan MP pastinya tidak akan bertanggungjawab diatas sebarang pendapat/pandangan/komen yang anda diberikan.