Hindraf - Pakatan berisiko tewas 25 kerusi

Sunday, February 17, 2013 0 comments


SHAH ALAM: Pemimpin Hindraf P Waythamoorthy memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat berisiko kehilangan sehingga 25 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang sekiranya dipulau oleh kumpulan pendesak itu.

Beliau berkata sokongan kaum India untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin pulih dan justeru itu mengingatkan Pakatan supaya tidak terlalu yakin.

Beliau mengulas keengganan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikat perjanjian dengan Hindraf untuk melaksanakan pelan tindakan meningkatkan taraf sosio-ekonomi kaum itu.

Sebelum ini Anwar juga enggan melayan desakan Hindraf untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dun.

"Masyarakat India tidak berperang dengan kerajaan sepertimana pada tahun 2007 hinggan 2008,” kata Waythamoorthy. 

"Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan kerja yang mengagumkan dari bawah dan jika mereka berjaya mendapatkan 55 peratus daripada jumlah pengundi India, Pakatan berkemungkinan untuk hadapi risiko di 25 kerusi Parlimen," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Beliau juga meramalkan bahawa Kedah dan Selangor mungkin akan kecundang ke tangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Wayathamoorthy berkata tuntutan Hindraf tidak keterlaluan dan membidas Anwar kerana berdolak dalih dan memberikan jawapan samar mengenai pendirian beliau.

Minggu lalu, Anwar berkata semua tuntutan Hindraf boleh diselesaikan dalam masa 100 hari Pakatan menubuhkan kerajaan, namun menolak memberikan ketetapan itu secara bertulis. 

0 comments:

Post a Comment

MP mengalu-alukan setiap pendapat/pandangan/komen yang bijaksana daripada para pembaca dan MP pastinya tidak akan bertanggungjawab diatas sebarang pendapat/pandangan/komen yang anda diberikan.

 

©Copyright 2011 Melayu Pulau | TNB